KUALA LUMPUR: Pengurus kepada penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa kenyataan fitnah oleh lima individu termasuk dua artis iaitu Lan Solo dan Syura menyebabkan selebriti itu terlepas beberapa kontrak jenama terkemuka, pada November 2020 lalu.

Mohammad Al Anas Osman, 39, berkata demikian ketika perbicaraan kes saman fitnah artis berkenaan yang dikenali sebagai Nana, di hadapan Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan.

Ketika disoal peguam, Azlan Abdul Razak yang mewakili Syura, Lan Solo dan isterinya, saksi itu yang menjadi pengurus kepada plaintif sejak 2010 berkata, satu kontrak iklan komersial dibatalkan serta dua lagi tidak disambung sebagai duta produk.

Menurutnya, surat pembatalan kontrak diterima selepas Siti Nordiana selaku plaintif menfailkan saman terhadap lima defendan itu.

“Kesan paling utama ialah nama baik plaintif terjejas kerana siaran langsung Instagram melalui rakaman YouTube mencecah ratusan ribu penonton sehingga ke hari ini.

“Kesan buruk jangka panjang pula, membabitkan kontrak komersial kerana pengusaha jenama itu meletakkan syarat bahawa personaliti tajaan mereka tidak boleh terpalit dengan kontroversi selain sentiasa berkelakuan baik,” katanya.

Susulan siaran langsung itu, Mohammad Al Anas berkata, dia dihujani panggilan telefon dan mesej berhubung siaran langsung Instagram, memburukkan nama Siti Nordiana.

Katanya, semua mesej itu diterima dari laman sosial Facebook, pada awal pagi, 21 Julai 2021 lalu.

Selain itu, dia juga berkata telah menerima mesej daripada peminat Siti Nordiana yang bertanya mengenai siaran Instagram berkenaan.

Dalam prosiding berkenaan, Siti Nordiana diwakili peguam, Abang Azlan Abang Ariffin manakala peguam, Fithril Hakim Ab Jalil dan Nur Izzaida Zamani mewakili dua lagi defendan.

Perbicaraan bersambung 30 Oktober ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila telah disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing, telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa fitnah itu membawa maksud antaranya dia bukan seorang artis yang bersih dan dihormati, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun YouTube dijangka bertambah dan reputasinya telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu melalui peguamnya menyerahkan notis tuntutan melalui serahan tangan dan e-mel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000, namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Justeru, dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Sinar Harian